Fantasi Kecil

Fantasi… fantasi oh fantasi. Pasti semua orang punya fantasi. Fantasi dan impian hanya berselaputkan dinding senipis kulit telur. Berbeza tapi hampir ada persamaan. Mungkin hanya jika ia dapat direalitikan maka ia bukan lagi satu cereka atau fiksyen. Namun, limitasi pada fantasi hanya akan mengakibatkan kebejatan akal untuk berfikir. Kerana fantasi yang dipandu cermat jika tawakal pasti memberi rahmat dan nikmat. Terlalu berat dan berselirat? Sendat?

Ini Jayon….Ini bukan… Jayon…. Ini Jayon”  Nabila mengomel sendiri dan memuncungkan bibirnya sambil tangan comelnya ligat mengalih-alihkan magnet yang dilekatkan di peti sejuk. Kiranya dia berada di alam fantasinya sendiri, perjuangan seorang Puteri serikandi merebut besi berani yang punya kuasa sakti untuk menghalang kuasa gelap yang durjana. Tanpa besi berani sakti, rakyat jelata akan merana selamanya. Cukup sudah penderitaan yang dialami oleh semua orang Negara Bahagia Yang Selalu. Sang Kelempes yang membawa sengsara harus ditewaskan! Pertarungan berlangsung dengan sengit.

Aku ambil… aku ambil” tangkas si Puteri mengambil peluang ketika Sang Kelempes menggelupur kesakitan dek serangan pantas gerak tangan tepat ke telinganya. Puteri Nabila lekas-lekas menggunakan jurus kunci Gajah Biru untuk mengunci pergerakan musuhnya itu. Sang Kelempes tidak sedarkan diri. Dia telah kalah dalam peperangan agung ini. Perang di antara kuasa baik dan jahat.

Dapat… dapat” Puteri Nabila amat gembira kerana berjaya mengembalikan keamanan dan kebahagian kepada Negara Bahagia Yang Selalu. Rakyat jelata yang melihat dari kejauhan bersorak-sorai meraikan kemenangan yang dinantikan. Puteri Nabila menjulang besi berani yang diperolehnya untuk ditunjukkan kepada semua orang Negara Bahagia Yang Selalu. Maka bertambah gegak gempitalah dengan sorakan yang tidak putus-putus.

Tiba-tiba angin kencang menderu dari arah barat daya. “Ayaaaaa….” Puteri Nabila menjerit apabila besi berani yang berada dalam genggamannya jatuh ke tanah. Suara yang riuh tadi tidak lagi kedengaran. Suasana sunyi yang kelam menyelubung. Semua orang Negara Bahagia Yang Selalu terpaku memandang Puteri Nabila. Seolah semua sekarang berada dalam gerak perlahan. Puteri Nabila segera mengalihkan pandangan ke arah kawasan Sang Kelempes yang  telah dikunci dengan jurus tadi. Hilang! Sang Kelempes telah hilang. Pantas Puteri Nabila melihat ke bawah dan dilihatnya besi berani masih berada di tempat ia terjatuh tadi. Berbakikan tenaga yang ada Puteri Nabila menguis besi berani itu lalu dilonjakkan ke atas dan kemudian dia melompat tinggi untuk mendapatkannya.

Sebaik sahaja besi berani sakti berada dalam genggaman, Puteri Nabila menggunakan Gerak Pantas Tidak Berbayang untuk bersembunyi di dalam sebuah gua yang berhampiran. Kemenangan yang diperolehi masih belum mutlak. Namun buat beberapa purnama, Negara Yang Bahagia Selalu pasti beroleh kebahagiaan yang dinanti. Sang Kelempes tewas dan cedera teruk, tetapi setelah tenaganya kembali nanti. Dia akan kembali!

Wah! seronok bila ada fantasi. Itu mungkin fantasi kecil anak buahku yang seorang ini. Nabila nama pendeknya, Shikin nama panggilannya.

Sewaktu kita semua kecil dan berhingus dahulu, kita juga sudah semestinya punya fantasi kecil. Fantasi kecil yang menggembirakan dan memberi kepuasan kepada diri sendiri. Seolah alam ini tiada batasan yang mengongkong. Semuanya indah dan bahagia. Oleh itu, usah biarkan fantasi itu terhenti walau sebesar mana angka usia. Fantasi!

p/s: Oh… tolonglah berfantasi dengan elok. Dan kalau tak faham fantasi di atas, sila tengok video dahulu. Selamat berfantasi kecil.

 

Tinggalkan Komen

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!