15 kilogram?

Hari ini hari Rabu. Dua puluh Rejab seribu empat ratus tiga puluh dua Hijrah bersamaan dengan dua puluh dua haribulan Jun dua ribu sebelas masihi. Cuaca sepanjang hari di Kota Kinabalu dilaporkan panas dan terik. Peluh melekit dan hampir mengeluarkan aroma yang tidak menyenangkan. Aku ulang… hampir.

Aku semakin berat dan besar. Ya! Lima belas kilogram naik dalam masa 10 bulan, dengan ukur lilit pinggang yang bertambah beberapa inci. Seluar jeans yang dahulunya longgar, kini membuatkan perutku senak. Pipi yang dulu cengkung, kini berisi… tapi masih belum tembam dan comel seperti Po si panda dalam Kung Fu Panda. Kenapa boleh jadi sampai begitu sekali? Orang cakap, “kalau dah bahagia macam begitulah”, “begitulah orang lelaki bila dah kahwin” dan banyak lagi kata orang yang selalunya serkap jarang.

Jawapan? Kerana pada peringkat awal ‘perkembangan’ aku kurang menumpukan perhatian untuk diri sendiri. Daripada hidup bujang sehinggalah sudah berkahwin, aku seperti acuh tidak acuh dengan penampilan diri sendiri. Bak kata orang (orang lagi?)  Simple! Sempoi! Ala kadar. Syukur-syukur bah. Perkara berkaitan penampilan diri tidak pernah masuk dalam senarai azam sebelum ini.

Haruskah ianya berterusan? Perlukah perubahan?  Nampaknya, sikap itu tidak boleh dipelihara. Kalau diteruskan nanti kelihatan berusia berbanding umur sebenar. Kesihatan akan bertambah teruk, daya tahan tubuh akan berkurangan dan mudah dijangkiti penyakit. Aku tidak mahu itu. Aku yakin, semua orang mahu yang terbaik untuk diri sendiri.

Sampai masa untuk aku jadi aku… kembali.

Cukup sudah aku yang besar dengan masalah yang besar. Selamat tinggal kebesaran.

Nota:

Hari Rabu, hari catatan blog sebenar. Catatan diari diri.

 

Tinggalkan Komen

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!