Asal?mu’alaykum… Salam sejahtera ke atas kamu.
Selamat BERSIH 3.0 kepada semua rakyat Malaysia.
Satu – BERSIH jiwa dan rohani dari permusuhan dan prasangka sesama kaum, agama dan Negara. Tutur, kata, doa dan sikap haruslah mencerminkan BERSIHnya kepercayaan dan pegangan agama masing-masing.
Dua – BERSIH akal dan fikiran serta matang dalam membuat keputusan yang waras tanpa membebankan orang lain. Prihatin dan melihat impak akibat perbuatan sengal secara menyeluruh terhadap agama, bangsa dan Negara.
Tiga – BERSIH kan dahulu sikap suka membuang sampah dan putung rokok di merata tempat. Cintai dan hargai keindahan alam ciptaan tuhan. Jangan sampai alam melancarkan deklarasi ganyang manusia!.
Baiklah… itu dia tiga BERSIH yang aku mahu sampaikan.Betul, ianya berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang berlaku baru-baru ini. SYABAS! Kepada mereka yang terlibat untuk menjayakannya secara ikhlas, terpengaruh, diprovokasi ataupun diupah untuk melakukannya. Objektif tercapai? Hanya huru hara, imej negara tercalar, ekonomi dan amarah serta penderhakaan terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong… itu kesimpulannya.
Banyak lagi cara untuk melakukan reformasi secara BERSIH. Jika tuntutan utama adalah berkaitan pilihanraya yang bersih, kenapa tidak kemukakan sahaja bukti penyelewengan SPR kepada pendakwaraya. Serahkan kepada sistem perundangan serta kehakiman Negara untuk melaksanakan undang-undang. Bukankah itu lagi BERSIH? Wahai pejuang-pejuang aristokrat yang bijaksana? Kalau mahu BERSIH yang sedikit kotor, hantarkan sahaja bukti-bukti itu ke semua media cetak dan elektronik … Kalau pilihanraya kita tidak adil, tak mungkin PAS, PKR dan DAP serta sekutunya berjaya menakluk beberapa buah negeri pada PRU12 yang lalu juga meneruskan legasi pemerintahan di negeri yang mereka telah kuasai? Dan kenapa tidak perhimpunan BERSIH itu tidak dilakukan sejurus selepas berakhirnya pilihanraya itu?… kenapa perlu menunggu beberapa bulan sebelum PRU13? …
Perpaduan atau perpecahan? Tidak kira di pihak BN (Barisan Nasional) atau BA(Barisan Alternatif) kenapa perlu bermain dengan api? Jika dilihat secara umumnya, kaum yang manakah sering bertelaga dan berpuak-puak? Sejak dari zaman dahulu lagi telah terbukti haloba dengan darjat, kuasa dan harta serta mudah diperalatkan …diperkudakan oleh anasir luar dengan hamburan janji dan provokasi untuk saling membenci dan berbunuhan sesama saudara sebangsa… kalau ini berterusan, maka selamanya tanah Melayu takkan pernah subur dengan perpaduan…
Secara peribadi, aku meluat dengan pertelingkahan serta sikap keanak-anakan mereka yang menjadikan politik itu sebagai cabang mazhab poligama (politik+agama). Mengeluarkan kata-kata kesat dan mendoakan keburukan kepada sesama islam mahupun yang bukan beragama islam bukanlah salah satu daripada nilai murni ajaran islam. Hadis dan sirah diputarbelitkan dan dipropagandakan agar maksudnya terselirat berat… sungguh bejat!
Aku menyokong mereka yang dapat membuktikan kejayaan dan kemakmuran pada Malaysia serta mengamalkan BERSIH 3.0 seperti di atas…. Kepada Kerajaan dan pembangkang serta orang-orang yang berkepentingan, silalah berpolitik secara berhemah… Kepada penyokong mana-mana aliran politik pun sila menjadi matang, jangan menang sorak… Negara tergadai…
Nota:
Aku akhiri diari Rabu ini dengan harapan agar Tanah Tumpahnya Darahku ini tidak berakhir dengan pertumpahan darah!
Nota paling akhir:
Boleh tuju lagu?