“Kalau hendak menebang pokok, janganlah tebang dengan menggunakan pisau potong kek…” pesan nenek kepada Aidil. Terkelip-kelip mata Aidil mendengar perumpamaan yang neneknya ucapkan tadi. Sambil menggulung rokok daun, nenek tersenyum melihat gelagat Aidil. Ditepuk-tepuknya bahu anak kecil itu. Aidil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kalau hendak memotong kek pula, janganlah dipotong dengan ‘chainsaw’…” Aidil berhenti menggaru dan memandang tepat ke arah mata neneknya. Belum sempat dia mencerna maksud kata-kata yang diungkapkan oleh neneknya awal tadi, kini dia disogok pula dengan kiasan baharu. Mungkin esok dia akan ajukan soalan berkaitan peribahasa moden neneknya ini kepada guru Bahasa Melayu, Cikgu Rosalinda. Cikgu Rosalinda… manis orangnya, wajahnya ayu persis Jessica Alba. Tersenyum Aidil…
“Kalau mengelamun janganlah terbayangkan Cikgu Rosalinda, jangan lupa dengan ikan yang digoreng di dapur tu…” terangkat kening Aidil, senyuman yang terukir sampai ke bintang bak lagu Yuna yang dinyanyikan Aizat tadi tiba-tiba bertukar menjadi cebikan ala lagu anak itik tok wi. Nenek turun ke bawah, bergegas mengangkat kain dari jemuran. Khuatir jika hujan akan tiba bersama ribut Sunamo yang akan melanda.
“Nenek memang ada ‘power’ macam Power Rangers…” getus hati kecil Aidil yang menggeleng-gelengkan kepala sambil mengangkat ikan basung yang digoreng garing. Pasti sedap dicecah sambal belacan.
—————-
Pergh! Menulis memang sesuatu yang menarik. Subjektif, bergantung kepada apa yang mahu diceritakan dan disampaikan. Novel atau cerita berasaskan CINTA pastinya menambat hati kebanyakan peminat tegar pembaca novel. Itu kata orang.
Setiap penulisan atau karya yang dihasilkan mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Warna-warni kehidupan.
aku yang menulis…(menaip)…
nota kaki: Ada?