Api | Lidah Berapi

Persembahan Lagak Ngeri - Lelaki Berapi

Persembahan Lagak Ngeri – Lelaki Berapi

“Jangan main api sayang…” itulah antara pesan yang selalu diberikan oleh mak, ayah, datuk dan nenek sewaktu kita kecil. Kerana apa? kerana api itu sangat berbahaya… Silap haribulan boleh menyebabkan kebakaran.

“Api itu sewaktu kecilnya boleh menjadi kawan, bila sudah besar boleh menjadi lawan” itu pula antara kata-kata hikmah yang kita pelajari di sekolah. Api yang marak dan menyala hebat pasti akan merebak dan menyebabkan kebakaran.

“Marahkan nyamuk, kelambu dibakar” peribahasa yang mengajar kita agar tidak menyebabkan berlakunya masalah yang besar akibat oleh perkara yang remeh dan kecil. Selesaikan sahaja masalah tersebut dengan pendekatan yang lebih sesuai dan wajar. Elok sahaja jika kelambu yang terbakar, bagaimana jika rumah hangus dan rentung dijilat api? Kebakaran berpunca daripada hal yang mudah.

Bah… kenapa aku bercerita tentang api? Kerana masyarakat kita kini nampaknya lebih suka bermain dengan api. Perkara yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkal, di ‘copy’ dan ‘paste’ kemudian disebarkan serta ditambah dengan ayat-ayat ‘mulia’ masing-masing. Kes salin dan tampal tanpa usul periksa hanya boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam lembah fitnah dan tuduhan melulu tanpa terlebih dahulu mengetahui hal yang sebenar. Perkara yang telah ditampal itu kemudiannya menjadi ‘viral’ dengan ramai ‘pakar-pakar hebat’ memberikan hujah dan tidak kurang juga yang ‘memuji’… baiklah… ayat sebenarnya mengutuk, mengeji dan memaki… eh…itukan perbuatan yang beradab bukan biadab…hmmm

Bayangkan sahaja situasi jika anda disalahtafsir oleh orang lain hanya berlandaskan sekeping foto, sepotong ayat atau sebaran fitnah yang entah datang dari mana . Mungkin daripada pari-pari kayangan… dan anda tidak langsung punya kesempatan untuk memberikan penjelasan. Tahu-tahu sahaja berita hangat itu sudah marak dan membara. Panas bukan?

Tidak salah untuk berkongsi info atau maklumat yang ada, tetapi ada ‘trick’ dan ‘muslihatnya’… pastikan kesahihan, kaji dan gunakan kewarasan akal untuk berbicara.

Jangan main api!

nota kurang api :

Lagak ngeri lelaki berapi ini sempat aku rakam melalui lensa kamera dalam satu acara di Kompleks Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Sabah. Sungguh berani dan tekad abang ‘macho’ ini bermain dengan api… untuk mencari rezeki yang halal.

Cuba lihat aksi berani pasangannya seorang wanita yang turut bermain api di blog Budakhutan Photoblog… Hebat!

eh… saya sayang awak… (maksud saya awak… bukan abang macho tu… hehehe)

 

Tinggalkan Komen

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!