Assalamualaikum… Salam kesejahteraan.
Alhamdulillah, Ramadhan tiba kembali. Bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan keberkatan. Masa untuk melipat gandakan segala amal dan kebaikan. Segala yang tidak baik, kita hindari dan jauhi. Sekiranya sesuatu yang tidak elok itu menjadi amalan sebelum Ramadhan, maka gunakanlah kesempatan kali ini untuk meninggalkan tabiat itu… atau sekurang-kurangnya, berjaya dikurangkan secara berperingkat.
Pandang, lihat dan tengok di sekeliling kita.
Hayati dan syukuri segala nikmat serta kelebihan yang telah diberikan kepada kita. Apakah kelebihan itu? Kelebihan yang paling ‘mahal’ sekali dan tiada tolok bandingnya… KEHIDUPAN…
Sehingga ke hari ini, kita masih menghirup udara yang memberikan kita nafas untuk terus bernyawa. Hidup dalam dunia yang indah dan cantik. Tidak cukup dengan kelebihan itu, kita juga diberikan banyak kelebihan yang istimewa…
Jika punya kelebihan ‘kaki’… kita dapat berjalan, berlari dan melompat
Jika punya kelebihan ‘tangan… dapat kita menyentuh, memegang dan menggenggam
Jika punya kelebihan ‘mata’… dapat kita memandang
Jika punya kelebihan ‘telinga’… dapat kita mendengar
Itu sebahagian dari kelebihan yang istimewa menjadi milik hampir semua kita… hampir semua. Ada yang punya kekurangan dan hilang sebahagian kelebihan.
Tetapi… berapa ramai daripada umat manusia yang menghargai dan menggunakan semua kelebihan ini untuk membantu mereka yang kekurangan. Berapa ramai daripada orang yang bersifat seperti manusia yang punya perikemanusiaannya? Berapa ramai daripada kalangan penduduk bumi ini yang bersikap hormat pada bumi yang dikongsi ini?
Cukup… Ramadhan mengajar kita erti kesederhanaan, meraikan kelaparan dan nafsu yang berjaya di tawan oleh kita sendiri selama sebulan. Pesta untuk pahala… Solat wajib dan sunat, membaca Al-Quran, Zikir dan membuat amal kebaikan. Sebulan ini kita kuat, bersatu dan menjadi ‘ISLAM’……
Ramadhan…
nota tangan:
Sedih dengan penindasan, orak orai dan keperitan hidup saudara seislam dan juga penduduk dunia yang hidup mereka terumbang-ambing akibat wang, politik, perang dan konspirasi.
Bagaimanakah Ramadhan mereka?