“Mati mencuba atau mati kesejukan dan kelaparan?” – ungkapan yang berulang kali dinyatakan oleh mereka yang terselamat dari insiden gempa di Gunung Kinabalu.
Lebih kurang 7 pagi, 5 Jun 2015 –
Aku sudah bangun, duduk di sebelah Adam yang masih lena tidur, mengiring menyembunyikan wajah di tepi pahaku sambil memeluk erat patung beruangnya.
Sambil fikiran menerawang, mencatat dan melukis – untuk mengolah dan menyudahkan manuskrip.
Tiba-tiba gegaran kecil mula dirasai. Pada mulanya aku hanya beranggapan ada lori besar yang lalu berhampiran.
Gegaran itu berubah dari perlahan kepada gegaran yang lebih kuat daripada biasa. Aku tidak pernah ada pengalaman berkaitan gempa bumi, sekadar melalui tontonan dan pembacaan.
Adam aku peluk erat. Terdengar rengekan manjanya disusuli ketawa perlahan. (bukan ketawa panjang, ketawa sekali)
Gegaran makin kuat terasa, di luar kedengaran bunyi penggera kenderaan berbunyi kesan dari gegaran, anjing menyalak dan jeritan orang ramai kedengaran.
Kebetulan, beberapa hari sebelum itu menonton ‘San Andreas’ bersama adik dan saudaraku. Ianya filem berkisarkan pada kejadian gempa bumi!
Pelbagai perkara buruk mula dibayangkan oleh fikiran. Segala kemungkinan. Termasuk mimpi-mimpi yang pernah menerjah berulang kali.
Mujur, gegaran tidak lama. Sebaik sahaja gegaran berhenti aku bergegas ke tingkap hadapan dan melihat persekitaran sekiranya berlaku tanda rekahan atau sebarang impak darinya.
Kelihatan kucing dan anjing menghidu tanah. Aku capai telefon untuk melihat info berkaitan. Tak ada . tetapi ramai yang mengemaskini status di media sosial mengenai kejadian itu.
Hebat. Pengalaman yang mendebarkan.
GUNUNG KINABALU MELETUS?
Beberapa minit selepas kejadian itu, aku membuka TV dengan harapan ada sebarang maklumat mengenainya.
Jangkaan awal aku
1. Gunung Kinabalu menjadi aktif
2. Letupan Gunung Berapi di Indonesia / Filipina
Info awal akhirnya diperolehi daripada laman web. Lokasi? RANAU ! mengejutkan.
BERITA PENDAKI GUNUNG KINABALU YANG TERKANDAS VS ULTRAMAN LAWAN RAKSASA
Tidak lama kemudian berita, cerita dan gambar rekahan serta impak dari gempa mula membanjiri media sosial sebelum berita mengenai pendaki Gunung Kinabalu yang terkandas menjadi viral.
Termasuk juga gambar dan info palsu dan lawak yang keterlaluan dikaitkan dengan gempa…
Rangkaian TV aku tukar dari TV1, TV2, TV3, NTV7 , AWANI, BERNAMA… menunggu laporan / liputan rasmi.
Kemudian giliran gambar dan video runtuhan di gunung Kinabalu pula menjadi viral.
Gambar dan video pendaki terkandas, kesejukan di puncak, runtuhan di gunung Kinabalu, Donkey Ears patah mula tersebar.
Tidak ketinggalan ada yang mengeluarkan gambar-gambar tragedi yang pernah berlaku dan dikaitkan dengan gegaran di puncak gunung.
GUNUNG KINABALU | DULU LAIN SEKARANG LAIN
Berita bantuan yang tidak sampai, pendaki dan malim gunung yang terkorban membuatkan netizen terutamanya warga Sabah ‘aktif’ di laman sosial.
Memberi komen, pendapat, memberi penghargaan … pelbagai reaksi dan ada pula yang memberi kenyataan yang agak ‘pandai’ dan memperlekehkan / merendah-rendahkan Sabahan secara umumnya dan juga pihak-pihak tertentu. Kurang adab atau kurang sensitif. Mungkin juga si peraih populariti.
Video bantuan yang tidak sampai ini menjadi topik hangat.
Menurut kenyataan ‘survivor’ – mereka yang terselamat dari kejadian gegaran di puncak Kinabalu , malim gunung telah menjadi hero mereka.
Membantu dan membawa mereka turun dari puncak ke kaki gunung setelah menunggu bantuan melalui helikopter yang tak kunjung tiba.
Pengorbanan serta kerpihatinan dan usaha mereka mendapat penghargaan dan sanjungan daripada pendaki dan juga netizen.
Aku terbayang-bayang pengalaman mendaki gunung Kinabalu. 3 kali? masih belum cukup.
Diberi kesempatan dan ruang aku akan mendaki lagi. Pastinya laluan dan suasananya tidak seperti dahulu.
Pilihan antara hidup dan mati. Pengalaman yang mendebarkan.
Batuan runtuh bergolek dan gempita kesannya mencemaskan pendaki yang berada di puncak ketika itu.
Perasaan ketika itu pastinya sesuatu yang berharga, untuk memberi kesan pada hidup yang mendatang.
Semoga semua mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat cekal dan bersabar.
Berada bersama Orang Tersayang ketika kejadian sebegini berlaku amat penting….
Hargai dan sayangi. Hormat.