PERSEDIAAN TEMPAT ANAK LOBSTER AIR TAWAR

Alhamdulillah Bertelur Lagi ! . Dalam dua minggu yang lepas, pada 19hb April telah buat pemeriksaan terhadap LAT (Lobster Air Tawar) yang ada di akuarium dan didapati salah seekor LAT betina telah bertelur.

Dalam anggaran 4 minggu lagi , telur-telur LAT akan menetas dan menjadi anak LAT yang banyak. Yeah! Untuk itu, aku dengan semangatnya menyediakan tempat untuk anak-anak LAT ini nanti selepas dorang lahir nanti.

Bahan yang aku gunakan untuk rumah-rumah anak LAT ialah paip PVC biasa tu. Tujuan sediakan rumah-rumah ni adalah untuk mereka bersembunyi dan selamat dari serangan. Serangan dari induk, ikan atau pun dari sesama anak LAT.

Sebelum ini juga aku pernah sediakan tempat anak LAT, apabila LAT aku bertelur tahun lalu. Ada cerita sedih tentang ini, nanti aku ceritakan di blog akan datang. huhuhu

Paip PVC dipotong-potong

Disebabkan Paip PVC yang sedia ada dirumah ni bersaiz 1.5cm, maka aku guna itu sahaja. Paip PVC tu aku potong dalam ukuran 5cm setiap satu. Berapa banyak mahu dipotong? buat permulaan ini aku sediakan 48 lubang paip. Sebab ruang di antara paip juga boleh jadi tempat persembunyian anak LAT.

Rumah anak LAT ini boleh digunakan sehingga mereka membesar sekitar 1 hingga 2 inci. Jumlah rumah ini boleh ditambah mengikut keperluan / bilangan anak itu nanti.

Proses melekatkan Paip PVC untuk rumah anak LAT

Untuk melekatkan / menyambung paip-paip pvc itu aku gunakan ‘Pistol Perekat Panas’ (glue gun) . Ianya mudah dan senang.

Sekiranya tidak ada, boleh juga gunakan ‘pengikat kabel’ (cable tie).
Tidak semestinya susunan paip seperti di atas. Ikut kreativiti dan kesesuaian.

Persediaan Rumah-Rumah Anak LAT

Setelah dilekat bersama semuanya, maka siaplah rumah persembunyian untuk anak Lobster Air Tawar kita.

Sebenarnya, anda juga boleh menggunakan straw minuman untuk dijadikan tempat persembunyian anak LAT ini. Tetapi disebabkan aku tiada straw di rumah dan musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini sedikit sukar untuk merayau mencari barang-barang bukan keperluan harian, makanya aku gunakan apa sahaja bahan yang ada di rumah.

Mungkin sifu-sifu / guru-guru yang lebih pakar dan berpengalaman dalam penternakan LAT ini ada cara tersendiri dan tips yang lebih baik.

Aku kategorikan diri aku sebagai pemula, bermula sekitar 2018. Masih banyak yang mahu dibelajar. Kasi jadi !

Nanti kita kemaskini kejadian selanjutnya gais.

PKP | PELUANG KITA ‘PULANG’

Assalamualaikum … Salam sejahtera, salam Perintah Kawalan Pergerakan di hari yang ke 34.

Perintah Kawalan Pergerakan | PKP | Peluang Kita ‘Pulang’

Semua maklum. Semenjak PKP mula dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 yang lalu, kehidupan kita semua tidak lagi sama dengan yang sebelumnya. Pergerakan, pergaulan dan hidup jauh berbeza. Semuanya berbataskan jarak demi kelangsungan hidup, memerangi virus membunuh… Covid-19.

Namun, inilah Peluang Kita Pulang…
Pulang kepada fitrah yang sepatutnya kita jangan abaikan. Bermula dengan kesihatan diri, mental dan fizikal. Hubungan kekeluargaan. Hubungan dengan tuhan. Sujud.

Pulang Dengan Misi

Kini kita punya masa.
Terbaca di media sosial tentang satu perkara yang menarik mengenai PKP / MCO ini. Aku alih bahasakan daripada bahasa inggeris.

“Dalam tempoh PKP ini kita punya banyak masa, dan jika kamu tidak mempelajari perkara baru, tidak memperbaiki diri, tidak melakukan apa-apa yang berfaedah, maka masalahnya bukan lagi tentang masa… yang sering kita jadikan alasan…tetapi ianya masalah disiplin diri”

Menyengat betul ayat ni sama aku. Menusuk-nusuk kalbu.
Akui sahaja kesilapan diri. Kerana itu banyak misi dan projek yang tersakiti.

Aktiviti Fizikal

Sepanjang 33 hari yang lalu, jari jemari jarang mengetuk-ngetuk papan kekunci. Jarang memegang pensel dan pen untuk melukis dan menulis.
Iya… sepatutnya aku lebih banyak masa untuk menulis di blog.
Iya… sepatutnya aku ada masa untuk melukis.

Kalau sebelum PKP ini, aku penuhkan masa di depan komputer.
Melakukan tugasan grafik dan video. Bertungkus lumus untuk siapkan video-video untuk channel You Tube. Belajar animasi, kesan khas dan teknik video. Siapkan grafik untuk laman-laman web, tempahan dan page facebook / instagram.

Namun… tempoh 33 hari lalu aku jarang beraksi depan komputer.

Banyak masa pegang tanah.
– Antara projek yang tersakiti dulu, bercucuk tanam. Sekarang boleh kasi aktif balik dan belajar.

Banyak masa mengemas, menyusun dan ubahsuai.
– Ini juga untuk misi mendatang. Untuk jadikan misi mendatang berjaya, kena mula mengemas. Susun, pilih barang yang tidak lagi diperlukan. Cuba minimalis.

Banyak masa bertukang
-malangnya nda cukup perkakasan dan kedai hardware pun baru akan buka bermula esok, dan jika tidak silap tidak ada penghantaran.
– Mau beli mesin-mesin oooooo

Banyak masa senaman
– Lutut masih tidak mengizinkan untuk beraktiviti dengan keras.
– Misi untuk capai Berat Ideal mungkin…mungkin boleh direalisasikan… ehem

Panjang | Apa lagi boleh aku buat?

Tapi… aku tahu aku kena biasakan diri dengan Norma Baharu

Kehidupan selepas ini pasti akan berbeza.
Rutin harus diselaraskan. Kena juga kembali menghadap layar komputer.

Apa lagi aku boleh buat?

Apa lagi kita boleh buat?

Cuba dan terus mencuba.

Baiklah, jumpa lagi dalam entri selanjutnya.

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!