mengharungi

Dari awal ‘terhasilnya’ aku, kamu dan mereka… kita semua sama. Mengharungi satu perlumbaan di antara berjuta untuk mewujudkan diri sendiri ke bumi. Pertarungan yang memerlukan ketangkasan, kelincahan dan kepantasan agar dapat menembusi dinding yang bakal melengkapkan transformasi. Semuanya kerana benih kasih bahana cinta berahi dari dua insan yang saling menyayangi…. suami dan isteri ( cop halal ! )

9 bulan kemudian mengharungi hidup dalam ‘kepompong’ ditanggung bonda. Getar dalam gelap, gundah kaki dan tangan menggeletek perut ibu dari dalam. Menghadirkan gembira dan gusar serta mengeratkan kasih mesra mama dan papa… sayang…

Esak rengekan sesudah kelahiran memberi senyum dan tawa…  bermulalah kembara mengharungi hidup sebagai seorang manusia. Berbaring , tiarap , merangkak dan terkedek-kedek menggoyangkan punggung dan kemudian mampu berdiri dan berjalan untuk menempuhi perjalanan ceritera selaku orang yang menjadi orang.

Bersendirian atau beramai mengharungi dugaan dan cabaran serta ujian menghidupkan diri, kesimpulannya sama… dayung dengan berhati-hati, agar ‘sampan’ / ‘perahu’ hidupmu tidak terbalik pecah dek arus dan ombak atau hanyut kerana gelombang dan badai… mahu sampai ke destinasi, susah dan senang harus diharungi… moga kekuatan dan tekad itu kental…

Akhirnya nanti… kita bakal mengharungi saat bersabungnya roh dan jasad untuk berpisah selamanya. Tiada kalah dan menang, kerana jawabannya tetap hakikat… roh perlu berangkat meninggalkan jasad sesudah usai lafaz penamat ….”Tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Allah, Dan aku bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah”… harap tenteram…

berdoa agar mampu mengharungi Siratul – Mustaqim…

p/s : Mengharungi kegalauan rutin tanpa komputerku yang ku rindui.

p/s yang akhir : “dosa…galas di atas pundak empunya jasad”

Tinggalkan Komen

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!