“Assalamualaikum… boleh saya bercakap dengan Dia?” lancar…satu permulaan yang baik.
“Waalaikumsalam… Dia bercakap. Boleh saya tahu siapa di sana?” suara di hujung talian bersuara lunak.
“Oh..maafkan saya. Saya Aku. Awak tak ingat saya?” lontaran vokalku seperti tersekat di halkum.
“Aku?” sahut Dia. Aku mengagak pasti Dia sedang mengerutkan kening. Seingat aku alis keningnya tebal. Mungkin seperti Elfira Roy… atau Selena Gomez…ok..batalkan Selena Gomez. Aku pilih Emma Watson.
“Ya… Aku… bukan Ako Mustapha” pantas aku menjawab.
“Maaf Aku. Saya tak ingatlah. Kenapa awak hubungi saya ?” kedengaran seperti si gadis manis dalam keadaan gusar dan kebingungan.
“Dia… sebenarnya saya sudah lama memerhatikan awak. Ada sesuatu yang perlu saya beritahu dan sampaikan kepada awak. Ini mustahak. Boleh kita berjumpa?” aku berterus-terang tanpa menggunakan jalan jauh. Terus ke pucuk pangkal kata orang-orang lama, tak perlu berkias dan berbunga-bunga. Takut nanti bunga layu…
“Tetapi Aku… Saya tak kenal awak. Dan saya rasa awak boleh sahaja bercakap terus dengan saya di dalam talian ini. Luahkan sahaja apa yang awak mahu perkatakan kepada saya… saya sedia mendengarnya” kelunakan si pemilik suara itu bertambah terserlah dengan tutur katanya yang berdiplomasi dan santun. Memang sah… pasti dia bertambah rupawan seperti Siti Nurhaliza…dengan lesung pipitnya serta senyuman manisnya boleh aku bayangkan serta… oh..aku tidak boleh teruskan khayalan itu, khuatir boleh menerbitkan rasa cemburu di hati Datuk K.
“Saya tahu awak memang seorang yang cantik dan jelita…” aku memberikan kata-kata pujian. Yang jujur dan ikhlas… datang dari hati.
“Aku… Saya perlu beritahu awak sesuatu sebelum awak meneruskan kata-kata awak…” si gadis laju memintas dan suaranya sedikit tegas.
“Saya sudah pun mempunyai dua orang anak…” penjelasan itu membuatkan fikiranku sedikit terganggu.
“Baiklah… tetapi Dia, saya bukan mahu bercakap dengan anak awak. Saya mahu bercakap dengan awak Dia” aku juga cuba bertegas tetapi berbicara dengan lembut. Bukan ‘lembut’.
“Awak jangan mempermainkan saya. Apa masalah awak sebenarnya ni Aku?” ton suaranya meninggi…seolah marah. Tetapi aku tahu, dia masih tetap cantik dan menawan.
“Masalah bermula pagi tadi. Awak terlebih bayar makan dan minum awak di gerai saya. Sedang saya hendak mengambil baki duit di laci, awak telah berlalu pergi dengan kereta awak. Penat juga saya berlari mengejar awak. Tapi apalah sangat kudrat saya untuk mengejar Kelisa merah awak tu” aku perjelaskan satu persatu kejadian yang berlaku pagi tadi, dengan harapan Dia dapat mengingatinya.
“Memang betul saya ada ke satu gerai pagi tadi dan agak tergesa-gesa pergi kerana telah dihubungi oleh majikan saya… tetapi macam mana awak boleh dapat nombor telefon saya?” si gadis ayu jelas masih curiga. Tidak mengapa, kerana aku tahu… dia kelihatan anggun dengan baju kurung hitam putihnya itu tadi.
“Awak yang berikan kepada saya… dan saya tahu awak juga belum berkahwin dan tak mungkin mempunyai dua orang anak” ya, aku yakin… mustahil Dia mempunyai dua orang anak.
“Macam mana awak boleh tahu? Adakah awak seorang psiko yang mengintip dan mahu melakukan sesuatu yang tidak baik kepada saya? Kenapa pula saya mahu berikan nombor telefon saya kepada awak dahulu?” suara Dia semakin perlahan. Sungguh jelas, Dia diserang perasaan gundah gulana dan kerisauan.
“Dia… saya tunang awak. Awak sudah lupa?” aku tersenyum… rambut belah tengah aku kemaskan dengan menggunakan jari.
“Maafkan saya bang… fikiran saya betul-betul bercelaru” kedengaran Dia beristighfar beberapa kali. Aku faham, fokus serta kesibukan terhadap kerja boleh membuatkan minda seseorang itu tidak boleh menerima input yang lain selain kerja. Dia memang tak berubah, dari zaman persekolahan dahulu sehingga kini. Dia adalah orang yang aku sayang. Aku sayang Dia.
“Abang… tengah hari nanti kita makan bersama ya” lembut suara Dia olah memujuk. Dia sayang Aku.
“Baiklah… Assalamualaikum” Dia menjawab salam dan aku putuskan talian. Hidup ini memang indah. Hati mahu senang… katanya.
~ bersambung?
nota kaki: cerita di atas hanya rekaan semata-mata… ada moralnya… hehehe
nota kaki-kaki: Gambar di atas sekadar untuk melepaskan rindu dengan tempat duduk bekerja dahulu. Serius…aku rindu.
nota kaki-tangan : banyak pula mahu ditaip…LIGAT!