NOTE | Aku Masih Sayang… Perlukah Aku Mencari Pengganti?

Kisah sebenar… Luahan hati yang kini sunyi…sendiri

sunyi-sendiri

Kali pertama aku melihat kau, aku sudah tidak keruan. Kau punya segalanya yang aku mahukan. Pelengkap untuk setiap apa yang aku impi dan rancangkan. Beberapa kali aku melirik dan merisik. Aku kuatkan hati dan beranikan diri untuk bertanya. Kerana aku mahu tahu tentang kamu… segala-galanya tentang kamu…

Kau berjaya ku miliki. Setiap saat dan waktu aku sentiasa bersama kamu. Kita selalu bersama. Siang ke malam, kau menjadi pendamping setia. Oh, indahnya dunia…

Tahun lalu kau telah terlibat dalam kemalangan. Lama juga kau terlantar di pusat rawatan. Aku setia menanti kau. Hari demi hari, aku gusar dan runsing… segalanya serba tidak kena tanpa kau. Aku terus menunggu dengan doa dan harapan agar kau kembali seperti sediakala, seperti dahulu. Hampir dua bulan kau keluar juga akhirnya… tetapi sesuatu telah berubah tentang kau. Kemalangan dan rawatan itu telah membuatkan kau tidak seperti dahulu lagi…

Aku sentiasa cuba membuatkan kau gembira dan bersinar seperti dahulu. Aku berikan segalanya yang ku termampu untuk memastikan kau dan aku terus dapat bersama. Aku mahu kau menemaniku. Aku mahu kau disisiku… Kau juga telah cuba menggembirakan aku. Kau biarkan aku bermanja denganmu lebih dari dahulu. Kau berusaha untuk memberikan yang terbaik buat ku… aku terharu.

Masa berlalu pantas. Kebahagian yang terbina seolah diragut dengan pantas. Kau semakin hari semakin tenat. Kadangkala tidak sedarkan diri.

Aku risau. Tidak mahu kehilangan kau. Membayangkan hari-hari ku yang mendatang tanpa kamu… aku buntu.

Kini kau koma. Masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri. Sekali-sekala terdengar bisikanmu. Aku pasrah… Aku rindu.

Aku menyediakan tempat untukmu di rumah agar kita tidak berjauhan. Biarlah aku yang menjagamu. Dengan cara itu, aku dapat terus bersama kau. Meluangkan waktu bersama dalam sisa hayat hidup kau…

Hari silih berganti. Banyak yang cuba memikat. Memberikan tawaran dan harapan. Hadir dengan memperagakan segala kelebihan yang mereka miliki. Memang mereka cantik, menarik dan mempersonakan. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan tergoda dan mahu memiliki mereka… tetapi aku hanya mahu kamu.

Tegakah aku meninggalkan kau dalam keadaan sebegitu hanya kerana untuk bersama dengan yang lain?

Sanggupkah aku berdamping dengan yang lain, menyentuh, bermanja dan menghabiskan waktu bersama sedangkan kau masih bernyawa… Godaan itu memang kuat. Kadangkala rasa kesunyian tanpa teman membuatkan aku sedikit leka… tetapi aku belum terlanjur untuk menduakan kau… kerana aku sayang kau.

perlukah aku mencari pengganti?

haruskah aku mencari teman baru?

atau teruskan hidup tanpa kau?

menunggu

nota kaki:
Patutkah aku beli telefon baharu atau ganti lagi sekali skrinnya yang masih bermasalah itu? hehehe…

Ya.. masalah telefon sebenarnya. Samsung Galaxy Note. Masalah skrin yang tidak memberikan output. Telefon hidup, bunyi ada. Tetapi paparan tidak kelihatan. Kadangkala samar-samar tu paparan. Kadangkala jika skrin ditekan atau dipicit, paparan akan kelihatan agak terang dan jelas. Kebanyakan waktunya skrin gelap.

Sebelum masalah ini kronik. Skrin sering memberikan paparan dengan garisan melintang di keseluruhan skrin. Flickering? atau gamma error?

Tahun lalu aku sudah menukar skrin tersebut dengan harga lebih 500… perlukah tukar lagi skrin? kepada yang lebih asli dan bermutu?

Atau beli sahaja yang baharu? tetapi note aku masih berfungsi dengan baik. Cuma masalah paparan.

Mungkin perlu berfikir dan mempertimbangkan segala pilihan dan keputusan…

Selepas ini mungkin perlu lebih berhati-hati dan berwaspada…

Maaflah Adam.. papa kena kuarantin dulu Cik Note ni.. Tiada lagi Upin Ipin, tiada lagi Boboiboy… tiada lagi telefon untuk dibaling… hehehe…

eh… ada bonus tak? kekeke

Tinggalkan Komen

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!