Syukur. Hari ini Adam genap 2 tahun. Satu tempoh peralihan yang terasa singkat seperti baru minggu lalu dia dilahirkan. Merengek manja, disusukan ibu, didodoikan untuk tidur, berjaga malam, belajar bertiarap, duduk dan kemudiannya terkatih-katih berjalan kini berlari dan melompat-lompat…
Pantas bukan waktu berlalu… seperti ada sahaja waktu yang kita tertinggal bila si kecil mula membesar. Di manakah kita bila dia mula bertiarap? Adakah kita bersamanya bila dia mula belajar berjalan langkah demi langkah? Berapa kalikah kita mendodoi, menggendong dan menyuap makanan atau menyusukan dia? Adakah tidurnya sering ditemani oleh ayah dan ibunya… dipeluk dan dikucup dahinya? … dan banyak lagi perkara yang seeloknya dikongsi bersama si kecil… atau kamu lebih suka menghabiskan masa ke kedai kopi, kompleks membeli belah, melihat wayang, bermain futsal, menghabiskan wang susu untuk rokok dan judi? Bangga dengan rutin hebat lagak superstar dan bintang ternama… Dan membiarkan sahaja dia dibesarkan oleh pembantu rumah atau penjaga taska?…
Ya… MASA itu adalah hadiah paling berharga berbanding kebendaan… kerana apabila masa telah berlalu… maaf… takkan boleh diulang kembali detik yang berharga…
Kerana itu sebelum kamu berkira-kira untuk membelakangkan si kecil yang baru mengenal dunia… fikir-fikirkan… mahukah kamu ditinggalkan apabila kamu sudah berumur dan tidak berkudrat…
Ya… MASA itu anugerah Allah yang paling bermanfaat… gunakanlah sebaik mungkin. Beringat lima sebelum datang lima..
Untuk pedoman dan peringatan buat aku dan semua ibubapa dan anak-anak di dunia…
Sayangi keluarga anda… sebelum…..