“Taburan bunga di tanah basah,
Tersusun memutih antara dua,
Nafas terhenti masa berpisah,
Tinggalkan tubuh tercabut jiwa!”
Seni Permainan Indera Bumi : Serakan Kelopak Bunga Darah
Lama benar tidak bercerita tentang novel. Tenggelam dalam rutin yang lain. Ramadhan kali ini berkesempatan menghabiskan bacaan Saga Takluk jagat, novel pertama dengan tajuk Takluk Jagat : Bisikan Ariasha dan kedua, Takluk Jagat : Amukan Indera Bumi. Novel ini telah lama dibeli sekitar April yang lalu bersama beberapa buah lagi buku, banyak lagi yang sedang menunggu giliran untuk dihadam…hahaha.
Kisahnya berkisar di sebuah tempat…Tanah Ini. Meliputi wilayah Dasyuria, Sedinggi dan Dakawa dan diantaranya ada permukiman kaum bunian. Mitologi ceritera Nusantara, dari segi latar belakang kisah, komunikasi, budaya, kostum dan seni pertarungan semuanya dalam acuan tersendiri. Pengembaraan Bayu, membawa amanat tanpa menyangka beratnya perjuangan yang harus dipikul di pundaknya. Pengisahan yang penuh drama dengan plot dan sub-plot yang kreatif. Jauh dari cedokan Mitologi kebaratan. Mungkin ada yang akan cuba membandingkannya dengan karya JRR Tolkien, Saga Lord Of The Ring…
Penggunaan mantera dengan pantun. Unik!. Babak-babak pertarungan dalam novel ini amat mengujakan. Apatah lagi dengan kehadiran watak-watak yang telah dikembangkan secara baik olah saudara Zaki Zainol. Pemusnah Jiwa, Zilastra, Puteri Ariasha, Budak Tiada Wajah, Cindai Ungu, Cindai Biru, Musang Darat dan ramai lagi watak yang melekat di otak. Mungkin aku agak ‘tamak’ sebolehnya mahu watak-watak mereka ini dikembangkan lagi… hahaha… dan satu watak yang aku sangkakan akan muncul di saat akhir ialah Tok Kidam… kerana d permulaan cerita, watak ini seperti punya potensi dan ada rahsia di sebalik rahsia… wah!
Sekiranya novel ini diangkat menjadi sebuah filem dengan garapan yang baik, pasti kehebatannya mampu membelah nusantara atau hingga ke Middle Earth!
Alam Takluk Jagat telah bergabung dengan dimensi Laksamana Sunan di layar imaginasi… Mungkin perlu ada pelengkapnya…
Aku tercari-cari jika ada kesinambungan kisah pengembaraan pendekar ini. Sekiranya ada pasti siuk (hebat)!
Siapa yang belum membacanya, ayuh dapatkannya.
Ada sesiapa yang mahu sarankan aku novel genre sebegini?
Nota:
sumber ilustrasi : SIRI TAKLUK JAGAT asal – Mohd Rajif Moksin
sumber ilustrasi : SIRI TAKLUK JAGAT 2011 – M.Dzulfeqar Nasir