Hidup. Kalau lihat dengan dua mata mungkin berbeza dengan satu mata. Apatah lagi jika tiada daya deria melihat, hidup pasti berlainan dari lain mata. Lebih-lebih lagi jika mata – mata yang memandang bukan mata si tuan punya mata yang melihat. Perspektif dan penaakulannya juga mungkin selisih. Mungkin kurang mungkin terlebih. Sedih, pedih jangan kuah terlebih, jangan biar gelegak mendidih.
Acah-acah. Hulur tangan sembunyi jarum, di bibir lihat ada terukir senyum. Tahan sabar sakit ku kulum. Balas senyum.
Diam. Hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas. Pakai sarung, gulung kemas, jangan terlepas. Menyapu jadi penyapu, sapu bersih masih penyapu, sapu kotor salah penyapu, sampai waktu rosak…nasib penyapu.
Imbal. Kadang miring bawa herot, biar gering jangan belot. Biar sahaja jatuh terletak jangan ditunggu jatuh terhentak. Riuh pula punya sorak, mengigal merak merak. Apa ada pada punai.
Rentap. Melompat biar sama jatuh, menyorok biar sama membongkok. Air mata bercucuran jatuh ke perut, sudah basah mencurah pula lebatnya hujan. basah….Tunggu teduh, mungkin nanti subuh.
Selirat ku biarkan sarat. Pelat. Hanyut. Kusut.