Category Archives: Blog

NAFAS | Hirup Udara Sebaiknya

Pejam celik pejam celik, kita kini di bulan September di tahun 2021.
Peralihan waktu yang akan kita ingat sampai bila-bila. Bermulanya pandemik awal tahun 2020 sehingga hari ini, banyak perubahan serta norma baharu yang kita alami dan cuba adaptasi.
Aspek kebersihan dan kesihatan diri menjadi keutamaan yang paling atas.
Sedikit kecurangan dalam disiplin penjagaan kesihatan dan kebersihan boleh menyebabkan sakit dan juga mungkin boleh menyebabkan kematian.

Dalam tempoh setahun lebih ini, banyak menerima berita kehilangan dan berpulangnya rakan dan kenalan ke negeri abadi. Tidak kurang juga mereka yang menerima kesan teruk dari Covid-19, ada yang ditahan di pusat kuarantin, ada yang ditahan di wad, ada yang tidak sedarkan diri dalam beberapa hari di hospital. Syukur, ada yang berjaya bertahan dan mempunyai daya juang hidup yang tinggi. Mengharungi detik-detik yang sukar untuk dilupakan. Antara hidup dan mati.

Pengalaman dengan gejala seperti sesak nafas, kehilangan deria bau dan rasa serta demam berpanjangan adalah sesuatu yang mengajar akan peri pentingnya menjaga kesihatan dan diri. Badan rasa lesu dan tidak bermaya, dada rasa terhimpit. Fikiran kosong dan berpusing. Suara pun tidak boleh dikeluarkan sepenuhnya. Semput. Bukan sekali.

Tidak boleh tidak pelbagai perkara akan difikirkan. Yang baik, yang buruk, semuanya terlintas di kepala.
Apa akan jadi kalau….? Bagaimana jika…? Adakah ini balasan…? Kenapa ?…
Pada masa yang sama, harus kuatkan mental dan diri.
Pada masa yang sama, kena pastikan waras.

Syukur. Semuanya beransur. Mujur sudah selesai vaksinasi.
Kewajaran hidup mempunyai nafas, nikmatilah dan hirup udara sebaiknya.

Covid-19 adalah perkara yang benar. Namun ramai yang mengambil ringan, tidak serius, memandang serong pada mereka yang dijangkiti, meremehkan segalanya. Ajaib.

Apakah akan ada lagi gelombang pandemik selanjutnya ?
Sebelum ianya berlaku, pengajaran yang boleh diambil dari semua ini adalah

“JAGA KESIHATAN DIRI”
kerana dengan sihat, kita dapat juga menjaga orang-orang yang kita sayang.
Kita sihat, kita akan dapat melindungi dan terus ‘ada’ untuk mereka.

Hidup harus diteruskan … kembali

catatan~34/148

Musikalisasi Reme | Takut…

Aku tidak tahu apa yang sudah jadi
Waktu ini aku dibelenggu emosi
Terbelit kusut mujur tidak tersimpul mati
Mahunya hati begitu..mahunya rasa pula begini
Syukur terhalang dek akal yang masih merajai…
Tapi kadang diakali berontak rasa dan hati…

Rasa rapuh aku takut tewas
Berantakan dari siring ke siring yang lain…
Rasa lapar aku takut kenyang
Makan dari piring ke piring yang lain…
Rasa kosong aku takut melayang…
Perlahan dari miring ke miring yang lain…
Perasaan ini membuat aku galau
Risau pada sesuatu yang ku tahu Bukan dalam garis genggamku
Perasaan ini membuat aku meracau
Gusar untuk kehilangan dan menjauh Lalu hilang dari sudut pandang
Perasaan ini membuat aku keliru
Bingung kalau tingkahku melukakan hati hati dan merobek jiwa jiwa

Kadang tekad aku membulat
Keras.. namun aku juga bukan orang sakti,
hanya manusia biasa yang juga punya hati
Kadang arus membawa ku hanyut
lemas… timbul tenggelam mencari nafas
mujur dibantu oleh Nya yang di atas
Kadang membisu aku kaku
kelu… kumat kamit dalam hati jaga raga
rumi dan jawiku jadi bekal siap siaga

Apa yang harus ku buat
kalau raksasa dalam benak memberontak
meruntuhkan tembok tembok nilai dengan galak
Apa yang harus ku buat
Kalau rasa rasa dalam jiwa membuak buak
menghasut hati untuk menari ikut rentak
Apa yang harus ku buat
Kalau masa masa lalu berputar tanpa dicongak
membawa sejuta mahu nikmat tak tertolak

Dalam takut aku tetap terus melangkah
Dalam takut aku tetap terus sujud…
Titipkan sahaja doa yang baik baik

~
Walau sesukar mana rintangan
Walau seberat mana pun beban
Tetap sahaja percaya pada diri

Masa yang susah pasti akan berlalu pergi
Waktu yang suram pasti akan berganti pelangi
Tetap sahaja percaya pada diri

Catatan : Remie ~ Julai 2021

Tentang Aku?

Aku adalah seorang orang. Seorang lelaki dan itu adalah muktamad. Ini adalah sebuah blog yang bukan macam blog? bukan juga ‘goblok’, tetapi kongsi selok-belok agar jadi insan elok. Terima kasih kerana sudi membaca. Berminat untuk berkenalan / beriklan boleh ke facebook atau email

error: Content is protected !!