Zakat Fitrah merupakan kewajipan Fardhu Ain bagi orang Islam. Kadar Zakat Fitrah ini diselaraskan dengan harga 2.7 kg beras (Satu Gantang Baghdad).
Mungkin ada yang baru pertama kali akan membayar Zakat Fitrah untuk diri sendiri dan keluarga. Masih kekok dan kurang arif mengenai Zakat Fitrah ini. Seperti aku masa mula-mula hendak membayar zakat setelah mula bekerja sendiri dan cukup haul… malu dan segan pun ada. Kena-kena lagi dengan amil Tok Imam yang nampak garang… tapi bila dah dekat dan beranikan diri untuk bertanya, Insya Allah… selepas menunaikan zakat.. hati tenang. Tok Imam pun senyum… terdengar beliau berkata separuh berbisik “boleh buat menantu budak ni…” eh!
Bagi negeri Sabah, kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1435 H atau 2014 ini ialah RM 7.00.
Berikut merupakan kadar bayaran Zakat Fitrah bagi tempoh 5 tahun (2010-2014)
TAHUN | KADAR ZAKAT FITRAH |
2010 | RM 6.80 |
2011 | RM 7.70 |
2012 | RM 7.00 |
2013 | RM 7.00 |
2014 | RM 7.00 |
2015 | RM 7.00 |
* info kadar Zakat Fitrah tahunan ini akan sentiasa dikemaskini
CARA MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Cara pembayaran Zakat Fitrah boleh dilakukan dengan bertemu dengan Amil yang telah dilantik. Amil ditempatkan di tempat-tempat strategik termasuk kompleks membeli belah… atau boleh sahaja membayar Zakat Fitrah ini melalui dalam talian.
PENGAGIHAN ZAKAT
Selama ini kita membayar Zakat dan ada di antara kita yang kurang arif mengenai pengagihan zakat atau mereka yang layak menerima zakat ini.
Golongan penerima zakat atau Asnaf itu terdiri daripada golongan
Fakir Miskin
Golongan ini memperoleh pendapatan kurang daripada 50% daripada keperluan harian. Sebagai contoh, Hassan mempunyai tanggungan, tetapi dia hanya mendapat RM10 setiap bulan. Berdasarkan situasi ini, Hassan boleh dikategorikan sebagai fakir dan boleh memohon sebahagian daripada zakat untuk meringankan beban kewangannya dan keluarga.
Miskin
Golongan miskin mempunyai pendapatan yang hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan asas yang sangat terhad.
Amil
Amil merupakan pihak yang bertanggungjawab memungut zakat yang dibayar oleh masyarakat.
Muallaf
Sahabat-sahabat yang baru memeluk Islam atau dikenali sebagai muallaf layak menerima zakat jika perlu.
Fisabilillah
Zakat boleh diberikan kepada mereka yang berjuang menegakkan dan melindungi pembangunan Islam (penambahbaikan masjid, kelas-kelas agama, dll)
Al-Gharimin
Gharimin merupakan mereka yang dibebani hutang yang banyak tetapi tidak mampu untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut.
Al-Riqab
Riqab adalah golongan hamba yang baru dibebaskan. Namun, bilangan riqab kini amat kurang atau sudah tiada.
Ibnu Sabil
Musafir yang terkandas dan mahu balik ke tempat asalnya / bertujuan kebajikan dan ketaatan
SUDAHKAH ANDA MENUNAIKAN KEWAJIPAN ANDA?
Pastikan anda mengambil maklum mengenai waktu pembayaran zakat, jangan terlewat.
– Waktu Wajib
Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
– Waktu Afdal
Sebelum umat islam menunaikan sembahyang Hari Raya
– Waktu Sunat
Sepanjang bulan Ramadhan
– Waktu Makruh
Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
– Waktu Haram
Selepas terbenam matahari pada satu Syawal. (wajib melakukan walaupun berdosa tetapi dikira qada)
Nota :
Ada yang berpendapat, lebih elok membayar ZAKAT daripada membayar CUKAI ? Pendapat anda?
Dapatkan TShirt – MUSLIM hari ini !